Latar Belakang Revolusi Revolusi_Iran

1940: Kemahkotaan Shah

Shah Mohammad Reza Pahlavi mula memegang kuasa pada tahun 1941, menggantikan ayahanda beliau, Shah Reza. Penggantian ini adalah menerusi rampasan kuasa oleh Inggeris dan Kesatuan Soviet yang menyebabkan Shah Reza terpaksa melarikan diri ke luar negara dan puteranya dipilih menggantikan beliau dengan harapan puteranya akan menjadi sekutu Inggeris dan Kesatuan Soviet. Shah Reza dikenali sebagai seorang yang nekad untuk memajukan negaranya tetapi pada masa yang sama bertindak kasar terhadap para ulama Iran. Pada tahun 1953, beliau melarikan diri keluar Iran apabila terjadi pergeseran antara beliau dengan Perdana Menteri Iran, Mohammad Mossadegh. Pergeseran ini berpunca daripada polisi Mohammad Mossadegh yang ingin memiliki negara yang dipenuhi lapangan minyak Iran ini dan meletakkan kuasa tentera di bawah penguasaan beliau. Melalui kudeta yang dibantu oleh CIA dan M16 (Operasi Ajax), Mossadegh berjaya digulingkan dan Shah kembali berkuasa.

Seperti ayahanda beliau, Shah Pahlavi meneruskan permodenan Iran. Beliau menjalinkan hubungan yang rapat dengan Amerika dan beberapa negara-negara barat lain dan sering kali mendapat pengiktirafan daripada Amerika kerana pendirian beliau yang menentang komunis. Namun begitu, pihak pembangkang yang terdiri daripada kumpulan berhaluan kiri, nasionalis, dan ulama selalu mengeluarkan kritikan kerana pemerintahan beliau melanggari perlembagaan Iran. Selain itu, rasuah dalam politik berleluasa dan juga tekanan politik menerusi badan perisikan beliau iaitu SAVAK.

1960s: Naiknya Ayatollah Khomeini

Ayatollah Khomeini, pemimpin revolusi Iran ini mula menampilkan dirinya dalam arena politik sekitar awal tahun 1963. Beliau mengetuai kumpulan pembangkang menentang kerajaan Shah dan rancangan Revolusi Putih beliau. Antara perkara-perkara yang diperdebatkan oleh Ayatollah ialah hak mengundi untuk perempuan, perubahan undang-undang pilihan raya yang membenarkan kumpulan agama minoriti memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan perubahan dalam undang-undang perkahwinan.[10]. Kemudiannya, beliau mengisytiharkan Shah telah "memulakan proses kehancuran Islam di Iran".

Disebabkan oleh pengisytiharan beliau, Khomeini ditangkap pada 5 Jun 1963 dan 3 hari selepas itu rusuhan berlaku di seluruh Iran. Pihak polis bertindak balas dengan menggunakan kekerasan terhadap perusuh-perusuh ini. Menurut laporan daripada kerajaan Pahlavi, seramai 86 orang terbunuh. Penyokong Khomeini pula mendakwa sekurang-kurangnya 1500 terbunuh[11] manakala pihak polis yang dibentuk selepas revolusi mengumumkan lebih daripada 380 orang terkorban.[12] Khomeini ditahan di rumah beliau selama 8 bulan dan kemudiannya dibebaskan. Setelah pembebasan beliau, Khomeini meneruskan kegiatan beliau mengkritik Shah terutamanya mengenai hubungan rapat Shah dengan Israel dan juga "penganugerahan" imuniti diplomatik pegawai tentera Amerika di Iran. Pada November 1964, Khomeini sekali lagi ditangkap dan kali ini beliau dibuang negeri selama 14 tahun dan kembali semula ketika revolusi.

Selepas buangan Ayatollah, tentangan terhadap Shah ditekan atau disekat oleh SAVAK dan ini menghasilkan keadaan tenang buat seketika.[13] Namun, pada masa yang sama, terdapat gerakan pemulihan Islam dan gerakan ini mendapat sokongan yang jauh lebih hebat daripada proses permodenan Shah. Idea Khomeini mengenai negara Islam di dalam tulisan beliau, wilayat al-faqih mendapat sambutan yang hebat. Menurut Khomeini, umat Islam haruslah mengaplikasikan undang-undang sharia dan untuk menguatkuasakan undang-undang ini, kerajaan Islam haruslah diperintah oleh ulama.

Walaupun Khomeini jarang menyentuh mengenai buku ini dalam temu ramah beliau di luar negara tetapi di Iran, ia disebarkan dengan meluasnya. Buku ini kemudiannya menjadi sumber inspirasi dalam pemberontakan rakyat Iran terhadap Shah Reza.[14]

1970s: Situasi di Iran Sebelum Revolusi

Shah Mohammad Reza Pahlavi

Terdapat beberapa peristiwa pada tahun 1970-an yang menyebabkan tercetusnya revolusi. Antaranya ialah layanan mewah kerajaan kepada rakyat asing sedangkan ramai rakyat tempatan hidup melarat, kadar inflasi yang melonjak tinggi diikuti dengan jurang antara kaya dan miskin yang semakin besar, sikap sekularisme Shah Mohammad Reza dan juga dakwaan bahawa SAVAK merupakan punca kematian pemimpin Islam yang berfikiran moden, Ali Shariati dan juga penglibatan SAVAK dalam kematian putra Khomeini, Mostafa (di Tehran).

Pada Oktober 1971, terdapat sebuah sambutan untuk ke 2500 bagi meraikan pengasasan negara Parsi. Sambutan ini diadakan selama tiga hari di Persepolis dan tetamu-tetamunya hanyalah warga-warga asing. Ini merupakan sebuah pesta yang menelan belanja yang tinggi (dianggarkan menelan belanja sekurang-kurangnya $100 juta[15]) Hidangan untuk pesta itu pula disediakan oleh tukang masak yang dibawa dari Paris. Pada masa yang sama, kawasan sekitar Persepolis iaitu wilayah Sistan dan Baluchestan mengalami kemarau yang teruk dan ramai penduduk di kawasan itu dan Iran umumnya hidup kelaparan[16].

Pada lewat 1974, berlaku peningkatan harga minyak di pasaran dunia. Namun begitu, kesannya kepada Iran adalah sebaliknya. Tahap inflasi melonjak naik dan jurang antara yang kaya dan miskin dan juga antara penduduk bandar dan luar bandar semakin besar.[17] Lebih memburukkan keadaan, kerajaan Iran menghabiskan ratusan juta bagi membiayai pekerja-pekerja pakar asing dan juga membeli pelengkapan tentera daripada Amerika yang ternyata tidak berguna ketika itu dan ia satu pembaziran.

Pada tahun 1976, jentera kerajaan Shah menaikkan kemarahan penduduk Islam Iran kerana mengubah kalender Iran daripada kalender Hijrah kepada kalender solar Iran yang pernah digunakan ketika zaman Cyrus Agung.[18]. Pada tahun yang sama, Shah mengumumkan rancangan penjimatan ekonomi yang bertujuan untuk mengurangkan tahap inflasi. Kesannya, ramai rakyat Iran yang hilang pekerjaan dan ramai yang jatuh miskin dan bermigrasi ke kota besar meningkat.

Jimmy Carter, presiden Amerika pada tahun 1977 mengutuskan sebuah peringatan kepada Shah Mohammad mengenai betapa mustahaknya hak kebebasan dan kebebasan berpolitik. Shah kemudiannya membalas peringatan ini dengan mengampuni 357 tahanan politik pada bulan Februari tahun yang sama. Beliau juga turut membenarkan Persatuan Palang Merah untuk melawat penjara tahanan politik. Ini merupakan permulaan liberalisasi oleh Shah. Pihak liberal kemudiannya mengeluarkan seutus surat mengecam rejim beliau.[19]

Tahun yang sama juga turut menyaksikan kematian seorang ahli politik yang penting iaitu Ali Shariati. Beliau adalah seorang pemimpin Islam moden dan kematian beliau didakwa didalangi SAVAK. Pada Oktober pula, putra Khomeini, Mostafa meninggal dunia. Walaupun punca kematian adalah serangan sakit jantung, tetapi terdapat desas desus mengatakan kematian beliau juga merupakan antara rancangan SAVAK.

Rujukan

WikiPedia: Revolusi_Iran http://www.bestirantravel.com/culture/culture.html http://www.iranchamber.com/history/islamic_revolut... http://www.iranian.com/revolution.html http://www.kolahstudio.com http://encarta.msn.com/encyclopedia_761588431/Isla... http://www.payvand.com/news/06/mar/1090.html http://gemsofislamism.tripod.com/khomeini_promises... http://tvnews.vanderbilt.edu/program.pl?ID=56102 http://www.internews.org/visavis/BTVPagesTXT/Theis... http://www.jubileecampaign.org/home/jubilee/iran_p...